
MAXIS Berhad (Maxis) menerusi jenama prabayar Hotlink menyediakan pulangan nilai berganda kepada pelanggan menerusi promosi ‘Hotlink Ramadan-Raya Hot Tickets’ yang menawarkan kandungan mudah alih Ramadan, lebih masa berbual dan SMS selain hidangan percuma di semua cawangan restoran makanan segera KFC di seluruh negara.
PROMOSI...Fitri (kanan) dan Afiz menunjukkan Hotlink Ramadan-Raya Hot Tickets yang menyediakan lebih nilai untuk pelanggan sepanjang bulan Puasa.
Timbalan Presiden Kanan dan Ketua Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah berkata, untuk menikmati tawaran berkenaan, pelanggan hanya perlu membeli kandungan Hotlink Ramadan-Raya Hot Tickets yang bernilai RM15 dan RM10.
Katanya, kandungan mudah alih terbabit dicipta khusus untuk membantu pelanggan beragama Islam mengakses maklumat antaranya waktu solat harian, Imsak dan berbuka puasa.
“Kami berbesar hati menyambut Ramadan yang mulia bersama pelanggan beragama Islam dan dapat menjadi sebahagian dari perjalanan mereka. Sebagai tambahan, Hotlink Ramadan-Raya Hot Tickets menawarkan lebih masa berbual dan SMS supaya pelanggan kami dapat berhubung dengan yang tersayang tidak kira jauh atau dekat.
“Sebagai contoh, Hotlink Ramadan-Raya Hot Tickets yang bernilai RM15 memberikan pelanggan 120 minit masa berbual dan 300 SMS bernilai RM60. Akhirnya, kami gembira menawarkan secara percuma hidangan dua ketul ayam KFC untuk mereka berbuka puasa,” katanya pada satu kenyataan media di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, kandungan mudah alih Ramadan terbabit dapat digunakan secara automatik apabila Hotlink Ramadan-Raya Hot Tickets diaktifkan.
“Jika perkhidmatan ini tidak diperlukan, pelanggan hanya perlu menaip ‘Stop BP’ dan hantar ke 22558,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Rumah Maxis, Afiz Abdullah berkata, Maxis juga menyediakan kandungan Ramadan untuk dimuat turun ke dalam telefon mudah alih.
“Kami gembira menyediakan tapak-mikro WAP unik yang dipanggil Ramadan di portal WAP Maxis khusus bagi pelanggan melanggan atau memuat turun kandungan Ramadan melalui telefon mudah alih mereka,” katanya.
Tapak WAP Ramadan menawarkan pilihan kandungan mudah alih yang luas antaranya SMS ALERTS untuk waktu buka puasa (waktu Imsak dan berbuka puasa secara percuma), Fadilat Ramadan (tazkirah harian sebagai peringatan untuk renungan sepanjang Ramadan) dan waktu solat.
Pelanggan juga boleh melanggan MMS ALERTS seperti Santapan Rohani (ayat al-Quran dan doa yang dihantar setiap hari) atau Zikir (bacaan zikir kontemporari melalui MMS).
Semua pelanggan Maxis dan Hotlink boleh mengakses laman WAP Ramadan dengan hanya menaip ‘GET RA’ di telefon mudah alih mereka dan hantarkan ke 26000.
Tapak WAP Ramadan akan dihubungkan ke telefon mudah alih mereka dan pelanggan hanya perlu klik pada hubungan itu untuk mengakses portal WAP Ramadan.